5 TIPS LIYANA JASMAY ATASI ANAK MENGAMUK



Liyana Jasmay, nama yang tidak asing lagi. Seorang penyanyi, pelakon dan usahawan muda. Bertubuh kecil molek, memiliki wajah yang comel, siapa sangka ibu muda ini mempunyai 2 orang anak.


Sepertimana ibubapa lain, beliau tetap tidak dapat lari dalam menghadapi detik-detik mencabar semasa mengendalikan anak-anak.


Berdasarkan pengalaman beliau menguruskan anak-anak, berikut adalah beberapa tips yang dikongsikan oleh Liyana Jasmay dalam mengendalikan anak mengamuk dan tantrum.






5 TIPS LIYANA JASMAY ATASI ANAK MENGAMUK


1. BIARKAN ANAK TENANG


Menurut penyanyi dan pelakon kecil molek ini, beliau banyak mengalah dan menggunakan teknik ‘reversed psychology’ ketika anak mengamuk.

Contohnya, beliau akan mengelak daripada memarahi atau memujuk anak semasa anak sedang marah. Sebaliknya, lebih selesa untuk berdiam saja untuk menunggu si anak kembali bertenang.


“Saya dah eksperimen untuk memujuk Sofia ketika dia mengamuk dan mendapati dia akan menjadi lebih marah. Jadi, saya biarkan dia tenang dahulu dan kemudian dengan sendirinya dia akan datang kepada saya,” ujar Liyana Jasmay.


“Selain itu, saya cuba untuk tidak memarahinya atau berkeras dengannya,” tambahnya lagi.



2. ALIH PERHATIAN ANAK


Menariknya, sebagai seorang penghibur, Liyana menggunakan kelebihan tersebut untuk mengalih perhatian anaknya ketika tantrum dengan menyanyi dan menari.


“Memang Sofia gemarkan nyanyian dan tarian sejak dia kecil. Malah, kami mempunyai rutin tersendiri seperti ‘menyanyi sebelum masuk ke bilik air’,” ujarnya sambil ketawa kecil.


Kalau nak tahu, anaknya Sofia juga sangat sukakan mainan seperti ‘Surprise Egg’. Jadi, ini antara perkara yang boleh digunakan untuk menarik perhatian si kecil daripada terus menangis.



3. JANGAN BERKASAR


Sikap anak-anak secara semulajadi adalah suka meniru perbuatan orang dewasa, terutamanya ibu bapa mereka. Maka, elakkan berkasar walaupun semasa bergurau dengan mereka.


“Saya bersyukur dalam hal ini kerana saya banyak mendapat bantuan daripada suami saya yang sentiasa bersikap tenang, rajin memujuk dan berlemah-lembut terhadap anak-anaknya walaupun dalam keadaan penat.”


Menurut Liyana lagi, “Kadang-kadang saya geram dan akan mencium atau ‘menggomol’ Sofia. Tapi nampaknya perbuatan ini akan menjadikannya bertindak kasar sehingga dia juga akan melakukan perkara yang sama kepada kita dan juga adiknya yang masih kecil.” 



4. BANYAKKAN BERSABAR


Dalam menangani perangai anak-anak, kita memang tidak dapat lari daripada berasa marah, kecewa, atau sedih. Lebih-lebih lagi apabila kita sendiri dalam keadaan penat dan stress.


Menurut pengalaman Liyana Jasmay sendiri, beliau memang terpaksa membanyakkan bersabar dan istighfar. lebih-lebih lagi semasa anaknya Sofia sedang menginjak umur 2 tahun. Walaupun sukar, beliau tidak akan sesekali menggunakan cara kekerasan untuk mengajar mereka.



5. BUAT PERSEDIAAN MENTAL DAN FIZIKAL


Berbekalkan sedikit pengalaman mengendalikan anak kecil dengan melihat anak buahnya, ia sedikit sebanyak memberi peluang kepadanya untuk membuat persediaan dari segi mental dan fizikal. Malah, beliau memang sudah menjangkakan akan menghadapi ‘zaman anak mengamuk’ atau tantrum tersebut.


“Saya dan suami belajar banyak perkara baru sehingga ada masanya keadaan menjadi kelam-kabut,” katanya.


Walaubagaimanapun, komunikasi serta kerjasama dengan suami amat penting kerana ia akan membantu mereka membuat keputusan yang terbaik.


Namun, beliau mengakui bahawa anak mengamuk adalah perkara yang normal dan setiap pasangan pasti akan menghadapinya suatu hari nanti. Apa pun, beliau mengakui bahawa semua pengalaman ini dapat membantu menjadikannya lebih mahir dan dapat melancarkan urusan mengendalikan anak keduanya, Selena.

Comments

Popular Posts