AWAS, PASTIKAN ANAK BERADA DI MANA

Disember 2018.


Kebiasaannya, mama hanya menghantar hencik suami di muka pintu saja. Pagi ini, hingga ke pintu pagar dan kereta. Sebenarnya sambil mencari kunci kereta lagi satu. Tidak tahu mana menghilang.


Tiba-tiba mama ternampak seorang kanak-kanak perempuan berjalan seorang diri. Lingkungan umur 2 tahun.

Mama tengok-tengok, kalau-kalau ada penjaganya yang mengikut di belakang.

Tetapi malangnya tiada.

Pantas mama mendekati anak kecil ini dan memegang tangannya. Tiada penolakan. Rela tangan dipegang.

Rambut paras bahu, jambul depan menutup dahi, memakai baju tidur dan berkasut pink. Comel. Memang comel sangat anak ini.


"adik, mama mana?"
"blam bla blam bla bla." ujar anak kecil ini.


Mulutnya menjawab, tetapi hanya dia saja yang faham.
Dari matanya, terlihat kerisauan, kebingungan seorang kanak-kanak.

"adik, ingat tak rumah kat mana?"
"bla ba ba baa ba." Jawabnya.


Mama melihat kiri kanan, mana tahu ada seseorang mencari. Tiada.

Mama memimpin tangannya dan menuju ke arah dari mana anak ini datang. Ada taska di hujung jalan ini, mungkin dia dari situ. Mama memberi salam dan bertanya penjaga di situ, tetapi penjaga tersebut tidak kenal anak ini.

Bingung juga dibuatnya. Tak tahu nak menuju ke mana. Kebanyakan jiran-jiran sudah pergi bekerja. Anak ini tidak pernah pula dilihat di lorong ini.

Mama berjalan menuju ke lorong hadapan. Deretan rumah yang menghadap taman permainan.

Sesampai di lorong itu, terlihat ada seorang kanak-kanak lingkungan usia 5-6 tahun sedang merayau, memanggil-manggil adik.


"Dik, tu kakak adik ke?"
Dia menjawab. Jawapan yang sama seperti tadi.


Pada masa yang sama, seorang wanita berkain batik, keluar dari pintu pagar dan kedengaran seperti memanggil nama seseorang.

Apabila terlihat mama sedang memimpin anak kecil ini, cepat-cepat dia datang.


"Kakaknya buka pintu pagar tadi. Saya tengah sibuk masak kat dapur."


Si kakak tadi datang mendekat. Ada sedikit rasa bersalah di mukanya.

Mama serahkan anak ini pada wanita itu.
Alhamdulillah. Anak kecil itu selamat pulang ke rumah.
Harap-harap kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
Hampir saja mama ingin melaporkan pada pihak sekuriti dan polis.


Kawan-kawan, kita sememangnya kadang terleka, tidak dapat selalu memerhati tingkahlaku anak kita. Tapi sentiasa pastikan rumah sentiasa berkunci dan selamat. Ajar juga anak nama mereka, nama mak ayah, dan ajar untuk 'takut' pada orang asing. Dunia sekarang, terlalu banyak yang perlu dirisaukan.




Lin Jamal,
Sedang melatih anak menyebut nama mama papa.

Comments

Popular Posts