AWASI MASALAH PERNAFASAN BAYI

Ibu-ibu, pernah tak anda mengawasi nafas bayi ketika tidur?
Ada tak nafasnya berbunyi atau berhenti seketika?


Bagi ibu baru, ia mungkin membuatkan anda berasa panik. Sebaiknya ibu kenali pola pernafasan bayi agar anda tidak terburu-buru membawa si manja menemui doktor. Mungkin ia sesuatu kebiasaan buat bayi.


Sleep apnea yang dikenal sebagai pernafasan terhenti ketika tidur merupakan gangguan tidur yang ditandai dengan mendengkur dan mengantuk berlebihan.

Pada orang dewasa, sleep apnea menjadi penyebab tekanan darah tinggi, penyakit jantung, diabetes malahan strok. Sleep apnea pada si kecil pula mengganggu perkembangannya.

Mari kita kenali beberapa masalah yang berkaitan dengan pernafasan bayi.


1. Berhenti bernafas (Apnea)

Ketika tidur, tiba-tiba nafas bayi berhenti sekitar lima hingga 10 saat. Kemudian bayi bernafas semula. Ia biasa terjadi kepada bayi pramatang.

Gejala apnea pada bayi pramatang lazimnya nafas berhenti selama 15 saat dan bernafas kembali. Apnea terjadi kerana bayi mengalami saluran pernafasan tersumbat atau kerana sistem saraf pusat yang mengawal pernafasannya belum berkembang dengan sempurna.


2. Bernafas cepat.

Bayi bernafas normal, kemudian cepat dan kembali normal semula,
Meskipun belum diketahui penyebabnya, pola pernafasan ini masih dianggap normal.

Biasanya, frekuensi pernafasan bayi baru lahir berkisar 40 hingga 60 tarikan per minit. Ketika bayi kepanasan atau menangis, frekuensi pernafasannya naik menjadi lebih dari 60 tarikan per minit. Bayi kelihatan seperti termengah-mengah.

Jika bayi sudah merasa tidak panas atau berhenti menangis, frekuensi pernafasannya akan kembali normal.


3. Nafas berbunyi.

Ketika dalam kandungan ibu, paru-paru janin terisi cecair ketuban. Ketika proses kelahiran, terjadi penekanan pada paru-parunya. Pada proses selanjutnya, mekanisme tubuh bayi akan membersihkan cecair ketuban dari paru-paru serta laluan pernafasannya . Inilah yang  menyebabkan nafasnya sedikit berbunyi. Keadaan ini normal.

Selain air ketuban, di dalam saluran pernafasan bayi terdapat lendir yang berfungsi sebagai saringan untuk mencegah kuman dan debu masuk ke paru-paru. Bila suhu sejuk seperti malam hari atau menggunakan penyaman udara, lendir ini akan penjadi pekat sehingga terdengar bunyi ketika bayi bernafas. Jika bayi alergi atau berlaku jangkitan, lendir boleh menjadi bertambah banyak sehingga mengganggu pernafasan bayi.

Comments

Popular Posts