PENYAKIT YANG SERING DIALAMI SI MANJA

Bayi baru lahir mudah terdedah dengan pelbagai jenis penyakit yang disebabkan oleh faktor persekitaran dan sistem imuniti yang masih lemah. Ibu-ibu perlulah sentiasa memantau dan mengambil berat sebarang perubahan yang berlaku kepada bayi mereka. 


Berikut adalah beberapa penyakit yang sering dialami oleh si manja:

1. Demam.




Demam biasanya satu gejala atau petunjuk pada masalah lain. Biasanya disebabkan jangkitan virus atau bakteria. Ia adalah sebahagian dari mekanisme pertahanan badan. Namun, demam yang terlalu tinggi boleh menyebabkan sawan kerana jika terlalu kerap berlaku, akan merosakkan sistem saraf otak anak dan mengganggu perkembangan anak-anak. Ibu-ibu perlu mengambil langkah pantas untuk mengawal suhu badan anak agar tidak terlalu tinggi. Bawa segera ke hospital jika suhu badan tidak menunjukkan perubahan yang positif dalam masa tiga hari.



2. Selsema.


Kebiasaannya anak yang mengalami selsema akan merasa hidung tersumbat dan berhingus. Tanda-tanda lain seperti sakit tekak, batuk, tidak rasa selesa dan sukar tidur. Ini akan menyebabkan anak merengek kerana tidak selesa. Masalah ini biasanya disebabkan oleh jangkitan virus. Awasi warna hingus anak anda. Jika bertukar warna kekuningan, rujuk doktor anda segera.



3. Batuk.


Batuk adalah satu refleksi sihat yang membantu mengeluarkan lendir dari saluran pernafasan. Pada masa yang sama, batuk juga merupakan refleksi pertahanan tubuh manusia apabila berlaku ketidakseimbangan sistem badan. Ia perlu diambil serius jika disertai demam yang tinggi, sukar bernafas dan warna kahak berubah menjadi kuning atau hijau. Ia boleh mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai jangkitan saluran pernafasan yang boleh mengancam nyawa jika ia dibiarkan berterusan.











4. Cirit-birit.


Anak akan membuang air besar lebih kerap daripada biasa apabila mengalami cirit-birit. Ia berlaku kerana jangkitan virus. Ia akan menjadi bahaya disebabkan kekurangan air yang teruk boleh menyebabkan komplikasi. Segera bawa anak ke hospital jika mempunyai tanda-tanda lemah, tidak aktif, tidak mahu makan dan minum seperti biasa.



5. Masalah kulit.


Kulit bayi sangat sensitif dan sangat berisiko menghadapi pelbagai jenis jangkitan. Jika keradangan kulit dibiarkan berterusan akan menyebabkan wujud masalah penyakit kulit kronik. Jaga kebersihan pakaian, tempat tidur dan persekitarannya. Peganglah bayi dan anak anda dengan tangan yang bersih. Amalkan sentiasa mencuci tangan. 

6. Ekzema.




Masalah ekzema boleh menyebabkan radang, gatal, kering, mengelupas, kemerahan dan bersisik. Kesan penyakit ini boleh dilihat pada bahagian pelipat lutut dan siku, atas punggung, buku lali, belakang telinga, muka dan kulit kepala. Biasanya mula timbul antara usia tiga bulan hingga dua tahun. Doktor biasanya akan memberi krim pelembap untuk mengurangkan kesan keradangan. Pemilihan sabun mandi dan losyen bayi juga perlu mendapat nasihat doktor. Pilihlah produk yang selamat dan mesra kulit bayi yang menggunakan bahan-bahan semulajadi dan tidak mengandungi bahan kimia berbahaya. 

7. Ruam Lampin.


Ruam lampin sering terjadi di kalangan bayi dan kanak-kanak di bawah umur dua tahun. Kulit di bahagian kemaluan, punggung, celah kelengkang dan bahagian dalam peha menjadi kemerahan. Beberapa faktor yang mungkin adalah lampin tidak kerap ditukar, kesan sabun yang tidak dibilas dengan betul atau kulit sensitif dengan lampin. 


Kita sebagai ibu bapa perlulah mengambil langkah berjaga-jaga dan cuba sebaik mungkin untuk mencegah penyakit-penyakit ini. Sentiasa pentingkan kebersihan diri, anak dan persekitaran. Jika anda selalu berada di kawasan awam dan berkongsi kemudahan awam, gunakanlah hand sanitizer untuk mengelakkan dari dijangkiti virus dan bakteria yang mungkin ada. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik bukan.

Comments

Popular Posts